PUNCANYA kecil saja, tetapi amuk si  kecil berlarutan apabila permintaannya tidak ditunaikan. Selepas puas  menangis, meronta dan menjerit, si kecil mula membaling barang yang ada  di sekelilingnya.
Pujukan si ibu tidak diendahkan. Geram ‘tunjuk perasaannya’ tidak  dipedulikan oleh ibu, si kecil kemudian menggigit dan menarik rambut  ibunya berulang kali. Hilang sabar dengan kerenah anak, akhirnya si ibu  memukul si comel.
Situasi itu mungkin pernah dialami kebanyakan ibu atau bapa. Anak  kecil membuat kerenah dan ‘tidak makan pujuk’, misalnya mahukan  perhiasan kaca atau benda tajam sebagai permainan, mengamuk kerana  perkara remeh seperti marah dengan usikan si abang, kemahuan untuk  membeli mainan mahal tidak dipenuhi atau tidak mahu makanan yang  terhidang tetapi minta makanan yang tiada.
Berdepan anak yang banyak kerenah kadangkala membuatkan ibu bapa kurang sabar.
Apapun, kerenah anak adalah ujian Allah. Ia menguji  kesabaran dan keimanan manusia kepada Allah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 28 bermaksud: ”Dan  ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak kamu adalah cubaan hidup  dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang amat besar.”
Panel pendakwah dan pendidik, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata  Allah sengaja menguji keimanan kita untuk melihat sama ada kita semakin  bersyukur apabila dikurniakan zuriat atau semakin jauh daripada-Nya.
Segala ujian itu tidak terlepas daripada dua perkara, iaitu sebagai penghapus dosa atau peningkatan darjat.
“Apapun sebab kita diuji dengan kerenah anak, Allah bukan bertujuan  menyeksa kehidupan kita, tetapi ini tanda kasih sayang-Nya. Sebelum ibu  bapa memilih kaedah paling sesuai mendidik atau mengajar anak, mereka  perlu pastikan tiga perkara iaitu mengenal pasti jenis kenakalannya,  tahap nakal serta membezakan kesilapan dan kesalahan anak.
“Ibu bapa perlu faham jenis atau kategori kenakalan anak kerana  pemahaman perkara ini penting supaya mereka dapat menangani masalah anak  dengan betul dan berkesan.
“Selain itu, tahap kenakalan anak berbeza mengikut peringkat umur,  jantina, kecerdasan akal fikiran, pengaruh rakan dan persekitaran,  didikan, suasana keluarga dan taraf ekonomi sesebuah keluarga. Yang  pasti, kenakalan anak yang usianya lebih besar adalah lebih serius  berbanding anak kecil.
“Anak tidak sepatutnya dihukum kerana melakukan kesilapan, tetapi  memadai dengan dinasihati supaya dia lebih berhati-hati pada masa akan  datang.
“Contoh kesilapan ialah anak tidak sengaja memecahkan tingkap ketika  bermain bola, manakala kesalahan pula adalah perbuatan yang tidak betul  dan disengajakan. Ia terbahagi dua iaitu kesalahan besar dan kecil,”  katanya.
Wan Akashah berkata, kesalahan besar ialah yang jelas melanggar  syariat atau undang-undang dan boleh mendatangkan mudarat kepada dirinya  dan orang lain. Contohnya anak sengaja bercakap bohong, tidak solat  atau memukul rakan.
Kesalahan kecil pula biasanya tidak jelas melanggar syariat dan tidak  membahayakan, tetapi mungkin melanggar peraturan manusia. Contohnya  suka menconteng dinding atau tidak mahu buat kerja sekolah.
Sebagai manusia biasa, ada kalanya kerenah anak membuatkan ibu bapa  hilang sabar. Selain asuhan baik, doa adalah kaedah penting yang mesti  diamalkan ibu bapa dalam mendidik anak.
“Ada doa di dalam al-Quran untuk melembutkan hati anak supaya dengar  cakap dan mudah mengerjakan solat. Antara doa yang perlu diamalkan ialah  surah Toha ayat 1-5, surah al-Syura ayat 19 dan surah al-Hasyri ayat  21. Doa ini boleh diamalkan dengan meniup pada ubun rambut anak atau  ditiup ke dalam air,” katanya.
Menurutnya, antara pendekatan lain yang boleh diambil dalam menangani kerenah anak ialah:
- Bersikap adil dalam semua perkara.
- Konsisten dalam  tindakan menangani masalah.
- Jalin hubungan baik dengan anak.
- Jadikan diri sendiri sebagai contoh.
- Berlembut walaupun tegas.
- Tunjukkan kemesraan dan kasih sayang.
- Tunjukkan penghargaan pada anak.
- Jangan bezakan kasih sayang terhadapnya.
- Sesuaikan tindakan dengan watak.
- Kurangkan pengaruh negatif.
- Tunjukkan minat mendalam dalam menangani masalahnya.
- Beri peluang untuk anak meluahkan perasaannya.
- Adakan usrah keluarga.
- Jangan mengungkit kelemahannya.
- Dapatkan kerjasama keluarga.
Bagi masalah anak yang banyak menangis dan memberontak apabila  kehendaknya tidak dipenuhi, ibu bapa perlu mengajar serta melatih anak  menahan emosi. Ibu bapa perlu cipta suasana yang dapat menjauhkan anak  daripada emosional seperti menangis.
Amaran atau gertakan seperti jika menangis lagi, permintaannya tidak  dipenuhi boleh dikatakan kepada anak terbabit. Misalnya: “Jangan  menangis lagi. Kalau menangis lagi, ibu tak mahu penuhi permintaan  Haikal.”
Menurutnya, apabila berdepan kerenah anak nakal, antara kebiasaan ibu  bapa ialah memukulnya sama ada menggunakan rotan, tangan atau tali  pinggang sebagai hukuman.
“Tidak dinafikan cara itu sangat memberi kesan terhadap anak. Apapun,  perlu diingat, memukul anak lebih banyak memberi kesan negatif jika  salah caranya. Anak yang besar atau remaja tidak sesuai dihukum cara itu  kerana menimbulkan emosi buruk, berdendam, trauma atau membentuk  peribadi kasar,” kata Wan Akashah.
Menurutnya, terlalu kerap memukul juga membuatkan anak menjadi lali  dan sakit dipukul tidak lagi memberi erti kepadanya. Anak hanya  berkelakuan baik sementara di depan ibu bapa kerana tidak mahu dipukul  tetapi apabila di luar pengawasan ibu bapa, mereka menjadi lebih liar.
Katanya, memukul anak nakal mesti kena caranya. Pada zaman dulu,  rotan digunakan untuk mengajar anak iaitu selepas amaran tidak  diendahkan, anak itu dirotan. Selepas dirotan, anak itu dinasihati  supaya tak mengulangi kesilapan mereka..
Jom kita amalkn bersama2..
Diambil dr blog
 





 
No comments:
Post a Comment